Sihat, kesihatan adalah perkataan yang sering disebut-sebut dan diperlukan oleh semua golongan manusia demi menjalani kehidupan kita di dunia yang fana’ ini. Nikmat kesihatan merupakan nikmat tuhan yang tidak ternilai harganya, namun kita tidak menyedari akan nikmat tuhan yang sungguh besar ini. Orang yang sihat itu dilihat seperti memakai mahkota, yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang sakit.
Namun tahukah kita apakah itu kesihatan? Sesihat manakah seseorang insan itu? Sejauh manakah kesihatan itu ‘diaras tandakan’ ? Adakah sekarang kita tergolong dalam kalangan manusia yang benar-benar sihat kesihatannya?
Merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan didefinisikan sebagai, “A state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity” (WHO, 1948). Iaitu, keadaan sejahtera fizikal, mental dan sosial dan bukannya semata-mata ketiadaan kecacatan ataupun penyakit.
Ini bermakna kesihatan yang sebenar adalah merangkumi kesejahteraan seluruh aspek kehidupan manusia iaitu dari segi fizikal, mental dan sosial. Tidak pula kesihatan yang sejati itu dapat dinilai hanya melalui ketiadaan penyakit atau atau sebarang kecacatan pada zahirnya.
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sebenarnya ‘tertipu’ dengan perwarakan tubuh badan yang kita rasakan sihat pada zahirnya. Namun, pada hakikatnya di dalam tubuh setiap insan diibaratkan mempunyai sebuah bom jangka yang hanya menanti saat dan masa untuk diletupkan.
Ia berpunca daripada sikap dan amalan gaya hidup kita yang kurang sihat seperti makan berlebihan, kurang pengambilan makanan berkhasiat, jarang bersenam, mengambil alcohol (bagi bukan muslim), merokok, dan berbagai-bagai lagi amalan tidak berkhasiat yang lain.
Tetapi adakah kita menyedari akan hakikat ini? Adakah apabila datang saat yang dinyatakan, barulah kita baru terpinga-pinga mencari jalan untuk mendapatkan kembali nikmat kesihatan itu semula? Jika perkara sedemikian yang berlaku maka terjadilah kita seperti kata pepatah ‘sudah terhantuk , baru terngadah’.
Sebenarnya segalanya bermula bagaimana kita meletak sikap dan pendirian terhadap nilai kesihatan itu sendiri. Adakah kita hanya meletakkan kesihatan itu hanya penting pada sesuatu masa dan keadaan? Jika tiba saat nikmat kesihatan itu ditarik daripada tubuh, barulah kita meraba-meraba ingat pada saat pentingnya kita menjaga nikmat kesihatan yang dikurniakan tuhan.
Hindarilah sikap yang demikian, ingatlah kita akan firman tuhan yang bermaksud:
“Sesiapa yang bersyukur (akan nikmatku ) nescaya Aku (Allah) akan menambahkan (nikmat) ke atas kamu, akan tetapi jika kamu kufur (akan nikmatku) , (maka ingatlah) azab aku amat pedih,” Ibrahim: 7
Oleh yang demikian, ubahlah gaya hidup kita seharian. Jangan bebani tubuh badan anda dengan amalan yang tidak sihat. Anggaplah setiap pengorbanan yang anda lakukan seperti senaman, berpantang makan makanan tidak berkhasiat adalah pelaburan yang baik bagi masa depan kita. Kesihatan anda adalah amanah, menjaganya pasti akan mendapat ganjaran di sisi Tuhan, Maha Pencipta.Insyaallah.